Suasana di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur semalam. FOTO Aizuddin Saad
Suasana di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur semalam. FOTO Aizuddin Saad
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kekal mencatat kemajuan memberangsangkan apabila lebih tujuh juta dos vaksin sudah diagihkan setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sejumlah 215,968 dos diberikan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara semalam, menjadikan keseluruhan 7,039,072 dos sudah diagihkan.

Katanya, daripada itu, 5,072,714 individu menerima dos pertama iaitu meningkat 15.5 peratus, manakala 1,966,358 orang lengkap dua dos.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau turut memberitahu, kapasiti harian pemberian vaksin di seluruh negara kekal lebih 200,000 dos untuk lima hari berturut-turut, sekali gus membantu mempercepatkan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.

Kadar pemberian vaksin harian tertinggi dicatatkan semalam dengan 268,604 dos selepas pertama kali Malaysia melepasi agihan 250,000 dos pada Selasa lalu.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin semalam memaklumkan kadar penggunaan vaksin berbanding jumlah bekalan yang diterima dari luar negara kini mencecah 90 peratus.

Dalam pada itu, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham menunjukkan penduduk Kuala Lumpur kekal penerima tertinggi dos pertama vaksin Covid-19.

Sejumlah 884,781 individu 50 peratus daripada keseluruhan penduduk Kuala Lumpur sudah menerima dos pertama, disusuli Putrajaya (36,279/33 peratus), Sarawak (878,626/31.2 peratus), Labuan (30,193/30.3 peratus) dan Perlis (63,504/24.9 peratus).

Penduduk Putrajaya pula adalah penerima tertinggi dos kedua dengan 25,825 atau 23.5 peratus daripada populasi wilayah itu, disusuli Labuan (14,722/14.8 peratus), Perlis (36,866/14.5 peratus) dan Kuala Lumpur (170,594/9.6 peratus).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 11:04 AM