LRT
LRT
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Mangsa kemalangan tren LRT kelmarin, yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi majikan layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

Bagi mangsa yang terdiri daripada orang bekerja sendiri (OBS) dan berdaftar serta mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789, mereka juga layak memohon faedah Perkeso jika kemalangan itu berlaku ketika mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya menerusi Perkeso sedia membantu mangsa kemalangan yang layak dengan faedah mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan juga Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Menurutnya, antara manfaat yang disediakan kepada mangsa kemalangan yang layak mengikut kedua akta itu adalah rawatan perubatan percuma di klinik panel Perkeso atau klinik dan hospital kerajaan menerusi faedah perubatan.

Selain itu, katanya, mereka yang diberi cuti sakit dan disahkan oleh doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka.

"Jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan terbabit, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan kemudahan pemulihan jasmani iaitu bekalan alat-alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat dan kasut khas.

"Mengambil kira keadaan mangsa yang cedera dan mungkin sedang menjalani rawatan, saya menyeru majikan ataupun ahli keluarga mangsa supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat Perkeso yang berdekatan.

"Kementerian dan Perkeso komited untuk memproses tuntutan faedah daripada mangsa kemalangan terbabit dan memastikan segala bantuan disalurkan dengan kadar segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk sebarang urusan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi talian Careline Perkeso di 1-300-22-8000 atau emelkan kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 3:45 PM