GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Tiga remaja lelaki mendakwa dilarikan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah pasar raya di bandar raya ini sebelum dipukul serta dirakam gambar bogel, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 6.45 pagi semalam.

"Mangsa mendakwa didatangi 10 lelaki termasuk seorang dikenali dan dilarikan dengan tiga kereta ke sebuah lokasi yang tidak dapat dipastikan.

"Suspek memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar itu sekiranya kejadian itu terbongkar.

"Suspek kemudiannya melarikan diri bersama-sama dengan barangan peribadi milik mangsa dan meninggalkan mangsa di lokasi yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera iaitu lebam di bahagian muka dan tangan berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Katanya, mangsa kemudian ke balai polis untuk membuat laporan.

Susulan itu, katanya polis menahan empat lelaki warga tempatan termasuk tiga juvana berusia antara 15 hingga 20 tahun di kawasan Skudai pada 8 malam tadi.

"Turut dirampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini, polis turut menemui semula barangan milik mangsa.

"Keempat-empat suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Katanya, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

"Usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini agar menyalurkan kepada pegawai penyiasat di talian 013-6062618," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:05 PM