Norzamira Che Noh

Klang: Tahap kesedaran Orang Bekerja Sendiri (OBS) untuk mendaftar serta mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih rendah walaupun skim itu sudah dikuatkuasakan pada Jun 2017.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata mengikut rekod, sebanyak 175,499 pekerja p-hailing sama ada penghantar makanan atau barangan adalah daripada 568,686 OBS yang berdaftar.

Beliau berkata, bayaran caruman bagi kategori berkenaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) hanya RM46.60 setahun iaitu 20 peratus di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS.

Katanya, baki bayaran caruman 80 peratus lagi iaitu RM186.20 dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

"Saya berharap kepada yang belum mendaftar serta mencarum tampil untuk berbuat demikian dan jangan anggap ia (caruman) sebagai beban.

"Kita bukan semata-mata ingin mengambil caruman tetapi ia lebih kepada jaringan keselamatan sosial kepada pekerja serta waris demi kesinambungan hidup," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan faedah Perkeso kepada Nur Izwana Othman di Rantau Panjang dekat sini, hari ini.

MOHAMMED Azman (kanan) menyerahkan sumbangan faedah PERKESO kepada balu, Nur Izwana. FOTO Faiz Anuar
MOHAMMED Azman (kanan) menyerahkan sumbangan faedah PERKESO kepada balu, Nur Izwana. FOTO Faiz Anuar

Nur Izwana adalah balu kepada Allahyarham Muhaimin Mohd Said,34 yang maut dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat pada 23 September lalu.

Dalam pada itu, Mohamed Azman berkata semakan mendapati Allahyarham Muhaimin pernah mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta 789.

Justeru katanya, balu Allahyarham layak menerima pencen penakat mengikut Skim Keilatan berjumlah RM882.98 sebulan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat.

"Selain itu, balu Allahyarham juga akan menerima Faedah Orang Tanggungan berjumlah RM837 sebulan yang dibayar seumur hidup serta Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar mengikut SKSPS.

"Bagaimanapun, agak mendukacitakan dan menyedihkan bagi seorang lagi penghantar yang cedera kedua belah kaki apabila tidak berdaftar dan mencarum dengan Perkeso.

"Justeru, jika kita menyayangi keluarga kita sama ada isteri, anak dan ibu bapa, jangan anggap pendaftaran dan caruman ini satu bebanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 4:06 PM