(Gambar fail) Kakitangan PERKESO melayan pelanggan di Ibu Pejabat PERKESO, Ampang. FOTO Aizuddin Saad
(Gambar fail) Kakitangan PERKESO melayan pelanggan di Ibu Pejabat PERKESO, Ampang. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

KEMENTERIAN Sumber Manusia meluluskan perluasan perlindungan keselamatan sosial kepada suami atau isteri yang bekerja dengan pasangannya di dalam perusahaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800), berkuat kuasa 1 Julai ini.

Menurut kenyataan media Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebelum perluasan perlindungan itu, seorang isteri atau suami yang diambil bekerja oleh pasangannya dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 tidak layak berdaftar dan mencarum sebagai ‘pekerja’, di mana keadaan ini menyebabkan tiada perlindungan keselamatan sosial kepada mereka di bawah kedua-dua Akta tersebut.

“Melalui perluasan perlindungan ini, seorang isteri atau suami yang diambil bekerja oleh pasangannya dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 akan mendapat perlindungan keselamatan sosial di bawah kedua-dua akta,” menurut kenyataan itu hari ini.

Di bawah Akta 4, faedah perlindungan berkenaan meliputi faedah perubatan; faedah hilang upaya sementara; faedah hilang upaya kekal; faedah orang tanggungan; pencen ilat; bantuan ilat; pencen penakat; faedah pengurusan mayat; elaun layanan sentiasa; kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional, termasuk Program Kembali Bekerja (RTW) dan faedah pendidikan.

Perlindungan keselamatan sosial di bawah Akta 800 pula meliputi elaun mencari pekerjaan; elaun bekerja semula awal; elaun pendapatan berkurangan; elaun latihan; yuran latihan dan program penempatan pekerjaan semula.

Majikan terbabit yang mengambil pasangannya bekerja dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 wajib mendaftar dan mencarum dengan PERKESO mengikut kaedah dan kadar caruman yang telah ditetapkan di bawah kedua-dua Akta tersebut mulai 1 Julai ini.

Kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan dan jika disabitkan dengan kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 6:23 PM