CHE Hasmah memasak kuah kacang untuk juadah raya walaupun duduk di kerusi roda. FOTO Tangkap Layar TikTok
CHE Hasmah memasak kuah kacang untuk juadah raya walaupun duduk di kerusi roda. FOTO Tangkap Layar TikTok
Redzuan Muharam


Temerloh: Biarpun duduk di kerusi roda, Che Hasmah Ali tetap bersemangat menyediakan juadah raya buat anak, menantu dan cucunya yang pulang beraya di kampung.

Kesungguhan Che Hasmah, 66, memasak dapat dilihat menerusi video dikongsi anaknya, Faizul Razali, 41, di TikTok.

Berkongsi kisah sebenar, Faizul yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, video itu dirakam secara spontan petang semalam sewaktu ibunya memasak sambal kacang kegemaran keluarganya.

"Petang semalam, saya sekeluarga bertolak pulang dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur ke kampung di Felda Lakum, Lanchang, di sini untuk menyambut Aidiladha dengan emak dan abah.

"Macam biasa, emak nak masak walaupun kami sudah memintanya berehat dan kalau boleh mahu dia tunjuk ajar saja, biar kami yang buat.

"Disebabkan emak bersungguh, kami bantu siapkan bahan jadi emak tinggal masak dan sempat siapkan dua hidangan iaitu kuah kacang serta rendang daging.

"Tapi saya dan adik (Mohd Shafie Razali, 36) teman emak kerana risau. Lagipun, emak pun sudah pakai kerusi roda sejak Julai tahun lalu selepas menjalani pembedahan pada tumit kakinya akibat terpijak paku," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Faizul, walaupun kudrat ibunya tidak sekuat dulu, juadah disediakan masih menyelerakan.

Katanya, walaupun tidak meminta, sudah menjadi kelaziman ibunya untuk bertanya apa juadah yang ingin dimakan kerana mahu menyiapkannya.

"Macam itulah emak dan saya pun akui kalau orang lain masak tak sama rasanya malah abah (Razali Abd Rasid, 66) pun lebih gemar masakan emak.

"Kegemaran saya pula adalah kuah kacang dan syukur masih ada peluang merasa air tangan emak walaupun dia kini tak berapa sihat akibat diabetes.

"Jadi, emak perlu menghadiri temujanji dengan doktor di Hospital Selayang, Selangor untuk pemeriksaan kesihatan berkala," katanya.

Faizul berkata, niatnya merakam dan memuat naik video di TIkTok sekadar untuk dijadikan kenangan.

"Tapi terkejut juga saya apabila ia tular hingga meraih lebih 120,000 tontonan.

"Apa pun, saya harap video itu dapat buka mata mereka yang menonton untuk sedar betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan menghargainya selagi masih ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 8:03 PM