MAZLI (dua kanan) dan Farihah Che Husin (kiri) menyampaikan Faedah Hilang Upaya Sementara kepada Mohd Zamri di rumahnya di Kampung Surau Haji Daud. FOTO Zaid Salim.
MAZLI (dua kanan) dan Farihah Che Husin (kiri) menyampaikan Faedah Hilang Upaya Sementara kepada Mohd Zamri di rumahnya di Kampung Surau Haji Daud. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


Marang: "Saya akan guna wang faedah ini bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak yang bakal menduduki Sijil Pemeriksaan Malaysia (SPM) tahun ini," kata Konstabel Mohd Zamri Embong, 43.

Mohd Zamri yang juga anggota Simpanan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) akibat kecederaan dialaminya selepas terbabit kemalangan ketika mengawal lalu lintas di Simpang Tiga Mak Kemas, di sini, Mac lalu.

Akibatnya, pergerakannya yang bekerja sebagai pemandu Klinik Kesihatan Marang terbatas dan sehingga kini tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan.

"Kemalangan itu menyebabkan siku tangan kanan patah serta retak pada kaki dan buku lali kiri.

"Saya bersyukur wang faedah sebanyak RM3,306.67 ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk tampung persekolahan anak yang akan menduduki SPM tahun ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau Haji Daud, di sini, semalam.

Ia disampaikan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin.

Sementara itu, Farihah berkata, mangsa layak menerima faedah caruman selepas berdaftar sebagai Orang Berinsuran Sendiri (OBS) dan mencarum dengan Perkeso menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pakej SPS Khidmat yang ditanggung kerajaan bermula 18 Mei 2022 hingga 17 Mei 2023.

"OBS kini masih di dalam tempoh cuti sakit dan Perkeso telah membayar faedah HUS berjumlah RM 3,306.67 bagi tempoh cuti sakit bermula tarikh kemalangan 11 Mac lalu hingga 29 Mei. Cuti Sakit seterusnya akan dibayar dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 5:05 PM