SAYANTAN Das. FOTO Mahzir Mat Isa
SAYANTAN Das. FOTO Mahzir Mat Isa
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menerima caruman berjumlah RM199,958.40 untuk perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) daripada Foodpanda Malaysia untuk 2,544 orang penghantar Foodpanda.

Pengarah Urusan, Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, caruman ini mencerminkan penghargaan dan komitmen Foodpanda Malaysia, peneraju platform makanan dalam talian yang beroperasi di seluruh negara, terhadap kebajikan riders Foodpanda dengan memberi perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku kejadian luar jangka ketika mereka bekerja.

“Kesihatan dan keselamatan penghantar adalah keutamaan kami. Pada awal tahun lalu, kami melancarkan polisi insurans yang bukan saja melindungi mereka ketika bertugas malah melindungi mereka 24 jam sehari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jalinan kerjasama antara Perkeso dengan Foodpanda Malaysia adalah satu pendekatan progresif bagi memperluas jaringan keselamatan sosial di kalangan penghantar barangan dan makanan yang bekerja sendiri.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya berharap organisasi dan perusahaan lain turut mengambil langkah proaktif seperti Foodpanda Malaysia agar lebih ramai golongan yang bekerja sendiri mendapat perlindungan keselamatan sosial.

“Perkeso melalui SKSPS menyediakan perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri dari 20 sektor tidak formal termasuk sektor pengangkutan barangan dan makanan.

“Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) mula dikuatkuasa sejak 1 Jun 2017 secara berperingkat bermula dengan sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas,” katanya.

Katanya, SKSPS memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan ketika bekerja.

“Perlindungan di bawah SKSPS bukan saja meliputi orang bekerja sendiri tetapi juga tanggungan mereka jika berlaku kematian berkaitan bencana pekerjaan,” katanya.

Antara faedah yang disediakan melalui skim ini adalah Faedah Perubatan, Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan

Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan juga Pinjaman Pendidikan.

Dianggarkan terdapat seramai 2.8 juta orang bekerja sendiri di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 7:40 PM