GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Klang: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah membuat pembayaran faedah berjumlah RM4.2 juta kepada 1,395 pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) setakat ini, sejak dilancarkan pada 2017.

Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso Azhar Md Nadzri berkata, terdapat lapan jenis faedah disediakan di bawah SKSPS untuk pencarum atau waris yang mengalami kemalangan sewaktu bekerja sendiri.

"Lapan faedah tersebut adalah faedah perubatan; hilang upaya sementara; hilang upaya kekal; orang tanggungan; pengurusan mayat; pendidikan; kemudahan pemulihan jasmani/vokasional dan elaun layanan sentiasa dengan caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan faedah Perkeso kepada Mat Nazir Abu Hassan, 53, ayah kepada seorang penghantar makanan, Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin Mat Nazir, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan di sebuah lebuh raya di Shah Alam, dekat sini 11 Ogos lalu.

Azhar berkata, Allahyarham layak menerima dua faedah Perkeso iaitu Faedah Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) kerana mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan turut mencarum dengan SKSPS menerusi SPS Lindung sejak 1 Julai lalu serta carumannya membolehkan warisnya iaitu bapa, ibu dan tiga adik perempuannya layak menerima faedah berkenaan.

Disamping itu, waris Allahyarham juga menerima bantuan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

Sementara itu, Mat Nazir turut menzahirkan ucapan terima kasih atas faedah yang diterima keluarganya hari ini dan katanya, keluarga tidak menyangka akan menerima faedah begitu banyak atas caruman dilakukan oleh anaknya itu.

"Saya tahu anak saya mencarum dengan Perkeso tetapi saya tidak tahu Allahyarham mencarum di bawah SKSPS. Skim ini, Insya-Allah akan meringankan beban kami sekeluarga dan saya juga tidak menyangka adik-adiknya akan dapat manfaat melalui skim ini. Terima kasih," katanya sambil menyeka air mata.

Mat Nazir turut menceritakan bahawa anaknya itu seorang anak yang sangat berjasa dengan keluarga dan disifatkan sangat manja dengan mereka berdua dan juga baik dengan adik-adiknya.

"Dia sangat manja dengan kami tapi dua hari sebelum kemalangannya sekitar 10.20 pagi itu, dia keluar bekerja untuk menghantar makanan kepada pelanggan. Selepas itu, dia pulang semula ke rumah untuk minta maaf kepada saya dan emaknya (Norlis Husin, 48) untuk halalkan makan minum dan memaafkan perbuatannya.

"Kami tidak sangka bahawa itu adalah petanda untuk dia pergi selamanya sebab pada hari kemalangan dia lebih banyak termenung, nak makan pun tidak lalu dan tidak banyak bercakap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 5:04 PM