Sebuah kontena berisi 7.7 tan mercun dan bunga api seludup yang dirampas JKDM Bintulu pada Jumaat lalu. FOTO ERIKA GEORGE
Sebuah kontena berisi 7.7 tan mercun dan bunga api seludup yang dirampas JKDM Bintulu pada Jumaat lalu. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Bintulu: Mercun dan bunga api seberat 7.7 tan bernilai RM86,684 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) susulan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Bintulu di sini, Jumaat lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Herman Shah Abdullah dalam kenyataannya hari ini berkata, ia adalah kes kedua cubaan membawa masuk mercun dan bunga api yang berjaya dipatahkan di Pelabuhan Bintulu.

Katanya, pemeriksaan ke atas kontena berkenaan menemukan 430 kotak mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM86,684 selepas duti dan cukai.

"Hasil semakan lanjut mendapati mercun dan bunga api terbabit tidak diikrar dengan barangan lain yang terdapat dalam kontena yang diluluskan dalam lesen import.

"Barangan haram itu disimpan bersama-sama barangan lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bekalan mercun dan bunga api itu cuba untuk dibawa masuk ke Bahagian Bintulu bagi memenuhi permintaan tinggi terutama menjelang musim perayaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta

Kastam 1967.

Sehubungan dengan itu katanya, Herman menyeru orang ramai agar membantu pihak JKDM memerangi

jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain lagi dengan menghubungi 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 4:42 PM