Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Penguatkuasaan dan Pematuhan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKM) Datuk Zulkifli Yahya (tiga kanan) bersama Pengarah Kastam Kedah Datuk Johari Alifiah (empat kanan) serta pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Penguatkuasaan dan Pematuhan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKM) Datuk Zulkifli Yahya (tiga kanan) bersama Pengarah Kastam Kedah Datuk Johari Alifiah (empat kanan) serta pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Aizat Sharif


SEBANYAK 1,122 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai lebih RM800,000 yang cuba diseludup ke negara ini dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah selepas menahan seorang lelaki di Bukit Kayu Hitam, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata, pada kejadian 4 petang, anggota JKDM yang bertugas di laluan kenderaan berat, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam menahan sebuah lori kontena bernombor pendaftaran negara ini.

“Sejurus lori itu memasuki Kompleks ICQS, kami memantau pergerakannya dan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami dapati pemandunya berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan melalui proses imbasan mendapati lori terbabit membawa barangan meragukan.

“Pemeriksaan pada sistem maklumat JKDM mendapati barangan itu masih belum diikrar atau diisytiharkan kepada pihak kami," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam.

Turut hadir Pengarah Kastam Kedah Datuk Johari Alifiah.

Tambahnya, pemeriksaan kemudiannya menemui beberapa kotak berisi air mineral yang diletak di bahagian paling depan kontena berkenaan.

“Apabila kotak itu dipunggah, kami menemui mercun dan bunga api yang diletak pada barisan kedua hingga ke ruang paling belakang kontena.

“Mercun dan bunga api pelbagai jenis itu seberat 20.7 tan selain dipercayai cuba diseludup ke negara ini dari Thailand.

“Pemandu lelaki berusia 48 tahun yang juga warga tempatan direman 14 hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 4:41 PM