PROSES pelupusan mercun dan bunga api di Lapang Sasar, Kem Sampadi di Lundu. FOTO Melvin Joni
PROSES pelupusan mercun dan bunga api di Lapang Sasar, Kem Sampadi di Lundu. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak melupuskan sembilan kontena mercun dan bunga api di Kem Sampadi, Lundu dalam tempoh 16 Ogos lalu hingga semalam.

Pengarahnya Mohd Nadzri Ariffin berkata, kesemua barangan yang dilucuthak di bawah Seksyen 127 Akta Kastam 1967 itu dianggarkan seberat 201,755.18 kilogram dengan nilai lebih RM1.38 juta dan jumlah cukai RM819,280.55.

"Kes tangkapan dan rampasan mercun dan bunga api ini melibatkan kesalahan tidak memiliki permit yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, proses pelupusan itu turut mendapat kerjasama serta pemantauan daripada Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mohd Nadzri berkata, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok dan menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1800888855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:30 PM