Saidi (kanan) bersama Zulkepli (dua dari kanan) menunjukkan kayu getah gergaji yang dirampas. FOTO Danial Saad
Saidi (kanan) bersama Zulkepli (dua dari kanan) menunjukkan kayu getah gergaji yang dirampas. FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini


KASTAM Pulau Pinang merampas enam kontena berisi kayu getah bernilai RM318,000 dalam pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), 29 Mei lalu.

Pengarahnya, Datuk Saidi Ismail berkata, pihaknya mendapati kayu itu diisytiharkan sebagai kayu getah tanggam jejari (bersambung) yang dibenarkan pengeksportannya.

Beliau berkata, namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu memuatkan kayu getah bergergaji yang dilarang eksport.

“Kayu itu didapati bercampur dengan kayu getah tanggam jejari yang dibenarkan.

“Nilai levi kayu getah berkenaan berjumlah RM25,000,” katanya pada sidang akhbar di Butterworth hari ini.

Hadir sama Pengarah Pelesenan dan Inspektorat, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Zulkepli Abd Rani.

Sementara itu Zulkepli berkata, siasatan pihaknya mendapati kayu berkenaan dipercayai untuk dihantar ke China melalui Pelabuhan Pulau Pinang.

“Kayu getah bergergaji mendapat permintaan tinggi dari negara seperti China dan Jepun kerana warnanya yang cerah.

“Namun, setakat ini kayu getah bergergaji dilarang dieksport bagi melindungi industri perabot tempatan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:58 PM