AARON  (kanan) dan  Wooi Yik berhempas pulas atasi beregu Taiwan.
AARON (kanan) dan Wooi Yik berhempas pulas atasi beregu Taiwan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menetapi ramalan melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Chang Chang Ko-Chi-Po Li-Wei di Terbuka Singapura, sebentar tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Tertutup Singapura hari ini, pilihan keempat kejohanan itu terpaksa bekerja keras sebelum menang 22-20, 21-17 dalam masa 41 minit.

Mengikut rekod pertemuan, ini kali ketiga kedua-dua pasangan bertemu dan rekod kemenangan bersih memihak wakil negara itu.

Di pusingan kedua esok, Aaron Chia-Wooi Yik akan bertemu satu lagi pasangan Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin yang mengatasi beregu senegara Lee Jhe Hui -Yang Po Hsuan 21-12, 12-21, 21-12.

Sementara itu, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut layak ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dengan kemenangan straight set 21-12,21-11.

Wei Chong-Kai Mun akan bertemu pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang turut layak selepas menang ke atas pasangan Scotland, Alexander Dun-Adam Hall, 21-9, 22-20.

Selain itu, beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke pusingan seterusnya selepas tiada masalah mengatasi wakil Jerman, Jan Colin Voelker- Isabel Lohau, 21-14, 21-11.

Mereka akan menentang beregu campuran Belanda, Robin Tabeling-Salena Piek yang mengejut pasangan Thailand yang juga pilihan keenam kejohanan, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 21- 17, 11-21 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 9:31 PM