Ahli keluarga serta kenalan menunggu di luar di Unit Forensik Hospital Besut, di sini, malam ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Ahli keluarga serta kenalan menunggu di luar di Unit Forensik Hospital Besut, di sini, malam ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: "Arwah minta nak pakai minyak wangi selepas mandi pagi, selalunya dia tengok saja saya pakai tapi pagi tadi dia nak pakai sama," luah ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Adwiah, 27.

Katanya, dia tidak menyangka itu menjadi permintaan terakhir arwah anak bongsunya, Muhammad Faiz Rizki selepas maut dalam kejadian dilanggar pacuan empat roda yang dipandu bapanya.

"Sejak beberapa hari lalu, arwah sangat manja dengan saya serta bapanya hingga tidak mahu berenggang apabila pergi ke mana-mana," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Besut, di sini, malam ini.

Katanya, dia reda dan pasrah dengan ujian yang menimpa mereka sekeluarga.

Difahamkan jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja pada malam ini.

Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut selepas dilanggar pacuan empat roda dipandu bapanya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi di kediaman keluarga mangsa di Kampung Wakaf Kubor, Kluang, Kampung Raja di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 11:12 PM