ROKOK yang cuba diseludup menggunakan kontena di Pelabuhan Bintulu. FOTO Melvin Joni
ROKOK yang cuba diseludup menggunakan kontena di Pelabuhan Bintulu. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

BAHAGIAN Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 70,960,000 batang rokok seludup yang cuba dibawa masuk menggunakan tujuh kontena di Pelabuhan Bintulu pada 13 Jun lalu.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, pada 11.30 malam, 12 Jun lalu, anggota penguatkuasaan JKDM Bintulu membuat pemeriksaan ke atas sebuah kapal kontena yang tiba di Pelabuhan Bintulu.

"Kapten kapal sebelum itu menyerahkan dokumen masuk bagi 237 kontena yang akan didaratkan di Pelabuhan Bintulu.

"Semakan ke atas dokumen berkenaan mendapati sebanyak 129 kontena tidak diikrar dalam daftar masuk termasuk tujuh kontena yang disyaki mengandungi rokok putih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada 13 Jun, semua tujuh kontena putih itu diarahkan didaratkan di Pelabuhan Bintulu untuk pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua kontena itu mengandungi rokok putih pelbagai jenama yang dipercayai tidak lulus kastam.

"Jumlah rampasan adalah sebanyak 70,960,000 batang rokok dengan nilai dianggarkan RM6.3 juta manakala duti dan cukai terbabit dianggarkan bernilai RM47.4 juta," katanya.

Sharifah Halimah berkata, modus operandi yang digunakan ialah rokok berkenaan diangkut menggunakan kapal komersial melalui Pelabuhan Bintulu.

"Bagi dikesan, dagangan diikrar dalam daftar masuk sebagai 'kargo biasa' dan syarikat pengimport adalah syarikat ejen perkapalan berdaftar," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat perakuan tidak betul yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-dua sekali.

Menurutnya, siasatan juga dibuat mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 yang mana jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman selaras Seksyen 19 Akta Zon Bebas 1990.

Justeru, beliau menyeru kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam http://aduan.customs.gov.my atau menghubungi mana-mana pejabat kastam yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 9:17 PM