ASEH  (dua, kiri) bercakap pada sidang media selepas Seminar Integriti FAM di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama
ASEH (dua, kiri) bercakap pada sidang media selepas Seminar Integriti FAM di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu isu surat layang segera diselesaikan dengan ia kini di bawah siasatan pihak polis.

Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan badan induk bola sepak tempatan itu 'bersih' daripada dakwaan membabitkan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) dan penyalahgunaan dana ketika Kongres FAM Mac lalu.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah sahkan tiada sebarang unsur rasuah dan salahguna kuasa di FAM. Siasatan bagi kedua-dua kes itu selesai dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mereka berpuas hati dengan hasil siasatan SPRM.

"Jadi kes diputuskan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan bagi siasatan lanjut membabitkan punca surat layang, FAM membuka ruang seluasnya kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

"Siasatan untuk surat layang masih berjalan, jadi kita tidak boleh komen lanjut. Kalau saya komen nanti akan mengganggu siasatan PDRM.

"Jadi biarlah PDRM selesaikan siasatan (isu surat layang) dan tampil dengan hasil dapatan mereka. Saya harap perkara itu dapat diselesaikan segera," katanya pada sidang media selepas Seminar Integriti FAM di Wisma FAM, di sini, petang tadi.

Ujarnya lagi, FAM mengambil langkah proaktif bagi menambah baik urus tadbir menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundram.

"Atas kesedaran sendiri, FAM menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memastikan sama ada dakwaan dalam surat layang itu wujud dan benar ataupun hanya dakwaan semata-mata.

"Ini juga sebagai satu langkah untuk menambahbaik urustadbir FAM yang mana mereka melihat daripada segala sudut kalau ada ruang yang harus diperbaiki.

"Jika ada yang perlu diperbetul, maka ia diperbetul dengan segera kerana kita mahukan urustadbir FAM berada pada tahap yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 8:21 PM