Pendatang asing tanpa izin ditahan ketika cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat
Pendatang asing tanpa izin ditahan ketika cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika cuba keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di Pantai Tanjong Rhu Pulau Carey, Telok Panglima Garang di sini, tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Pos Pulau Carey bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menahan PATI terbabit yang sedang berkumpul dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Siasatan daripada pemeriksaan ke atas PATI berkenaan, mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa, empat perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.

"Kesemua mereka berumur tujuh hingga 51 tahun yang ditahan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri.

"Hasil soal siasat awal, kesemua PATI mengakui ingin keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan laut)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sufian berkata, kesemua suspek warga Indonesia serta Myanmar itu ditahan mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua suspek direman selama 14 hari di lokap Balai Polis Banting, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih enam SEBATAN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 9:45 PM