LUAS sahkan tiada sisa minyak sawit masuk ke dalam sungai berdekatan akibat kemalangan di Kilometer 275.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, dari Bandar Ainsdale ke Nilai, hari ini. FOTO Ihsan LUAS
LUAS sahkan tiada sisa minyak sawit masuk ke dalam sungai berdekatan akibat kemalangan di Kilometer 275.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, dari Bandar Ainsdale ke Nilai, hari ini. FOTO Ihsan LUAS
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan terdapat aliran bahan pencemar susulan nahas membabitkan lori membawa muatan biji sawit di Kilometer 275.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, dari Bandar Ainsdale ke Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Bagaimanapun, tiada sisa minyak sawit masuk ke dalam sungai berdekatan.

Agensi itu memaklumkan, kemalangan berlaku pada jam 5 petang tadi dan pihaknya segera bergegas ke lokasi.

"Kami mendapati nahas itu mengakibatkan lori terbabit terbakar dan sisa minyak sawit memasuki longkang lebuh raya.

"Bahan pencemar itu berpotensi masuk ke Sungai Lamiar dan seterusnya Sungai Labu serta memberi risiko kepada operasi loji rawatan air (LRA) terhampir di Selangor iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu pada jarak 12.53 kilometer (km), diikuti LRA Salak Tinggi (17.53 km) dan LRA Labohan Dagang (13.9 km)," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada masa sama, semakan LUAS di lokasi mendapati kerja pembersihan dan langkah kawalan dilaksanakan PLUS dengan membina sekatan di dalam longkang lebuh raya yang terbabit bagi mengelakkan sisa minyak masuk ke dalam aliran sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 9:22 PM