Ruwaida Md Zain


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan dua cubaan sindiket penyeludupan 19.15 juta batang rokok putih (95,750 karton) di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, rokok dianggarkan bernilai RM1.53 juta itu membabitkan cukai kira-kira RM12.5 juta.

Beliau berkata, serbuan dilakukan pada 7 dan 13 Januari lalu oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM selepas risikan dilakukan selama dua minggu.

“Pada 7 Januari lalu, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) menahan sebuah kontena berukuran 40 kaki di Pelabuhan Utara apabila semakan terhadap dokumen K4 (Manifes Import) mendapati kontena itu diikrar sebagai aksesori telefon bagi mengelakkan daripada dikesan JKDM.

“Jumlah rampasan sebanyak 9.5 juta batang (47,500 karton) membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM760,000 dengan jumlah duti atau cukai RM6.1 juta," katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Negeri Selangor Pelabuhan Utara (Zon Tengah), Pelabuhan Klang, hari ini.

Zulkurnain berkata, penahanan itu membawa kepada rampasan kedua pada Isnin lalu, membabitkan 9.65 juta batang (48,250 karton) rokok dengan nilai rampasan dianggarkan RM772,000 dengan jumlah duti atau cukai RM6.4 juta.

ZULKURNAIN (tiga dari kanan) melihat rokok seludup dirampas pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO Sairien Nafis
ZULKURNAIN (tiga dari kanan) melihat rokok seludup dirampas pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO Sairien Nafis

Beliau berkata, semakan terhadap K4 (Manifes Import) mendapati kontena itu diikrar sebagai muatan barangan campur seperti 'Joss Paper' (kertas untuk upacara sembahyang), aksesori telefon, kasut dan lain-lain lagi.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 133(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

“Dua ejen JKDM yang terbabit dalam pengimportan kontena bagi kes ini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semua rokok dirampas itu dipercayai untuk pasaran dalam negara," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut mematahkan cubaan menyeludup dua unit kenderaan ke Jepun dengan penahanan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Barat, pada awal Disember tahun lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati dua unit kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Fortuner dipercayai kenderaan curi dengan modus operandi sindiket mengikrarkan dagangan sebagai 'Secondary Welded Pipe' (paip) dalam Borang Kastam 2 (K2) yang digunakan untuk eksport bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Nilai rampasan dua kenderaan terbabit dianggarkan RM300,000.

“Pengeksport dan ejen JKDM yang terbabit di dalam cubaan menyeludup keluar kenderaan ini sedang disiasat mengikut mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 4:49 PM