Anggota polis dari Balai Polis Kuala Perlis sedang melakukan pemeriksaan selepas penemuan satu rangka manusia di lokasi belukar hutan paya bakau di Kampung Wai, Kuala Perlis. FOTO IHSAN PDRM PERLIS
Anggota polis dari Balai Polis Kuala Perlis sedang melakukan pemeriksaan selepas penemuan satu rangka manusia di lokasi belukar hutan paya bakau di Kampung Wai, Kuala Perlis. FOTO IHSAN PDRM PERLIS
Aizat Sharif


Kangar: Rangka manusia yang sudah reput ditemui di kawasan belukar hutan bakau di Kampung Wai, Kuala Perlis, hari ini.

Rangka itu ditemui sekitar jam 4.20 petang oleh orang awam yang melalui laluan belukar berkenaan yang terletak di Jalan Batu Buaya di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, susulan itu anggota polis dari Balai Polis Kuala Perlis dikerah ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

"Pemeriksaan menyeluruh di lokasi bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa yang mencurigakan dan rangka yang ditemui pula didapati tidak cukup sifat serta sudah reput.

"Anggota polis yang bertugas kemudian mengesan tiga tempat dijumpai pecahan kedudukan tulang dari rangka itu.

"Siasatan awal kita percaya bahawa berkemungkinan rangka manusia itu dihanyutkan atau dipercayai sudah dimakan oleh binatang yang berkeliaran di kawasan belukar itu," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, siasatan awal pihaknya juga tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah yang berlaku.

"Kawasan berkenaan adalah satu kawasan berpaya yang mempunyai hutan bakau dan ia sentiasa mengalami air pasang dan surut datang dari Sungai Wai setiap hari.

"Keadaan itu akan berlaku hingga menutup laluan pejalan kaki di belukar itu menyebabkan keadaan tanah di kawasan itu sentiasa basah," katanya.

Rangka manusia itu kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau SDR.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 9:54 PM