Mohd Roji Kawi


Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas dua kontena mercun dan bunga api bernilai lebih RM750,000 awal bulan ini.

Rampasan berkenaan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarawak yang menahan dua lori treler di Jalan Batu 7 menghala ke Jalan Haji Baki/Batu Kitang di sini, pada 1 Mei lalu.

Pengarah JKDM Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, pemeriksaan terhadap dua kontena itu pada jam 5.30 petang menemui barang larangan itu yang seberat 46.7 tan dengan cukai bernilai RM386,198.88.

Beliau berkata, tiga lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan terhadap cubaan menyeludup barangan itu yang dipercayai untuk bekalan pasaran di Kuching pada musim perayaan Aidilfitri dan Gawai.

"Dua kontena itu dirancang untuk dibawa dari Bintulu ke Kuching pada lewat malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, kontena itu tiba di Kuching lebih awal dan berjaya ditahan penguat kuasa JKDM," katanya pada sidang media di Taman Perindustrian Sejingkat di sini, hari ini.

Herman berkata, mercun dan bunga api itu dipercayai diimport dari luar negara menggunakan permit import yang sah.

"Namun pengimport dipercayai membuat ikrar palsu iaitu kuantiti barangan yang diikrar tidak sama dengan kuantiti yang diimport dan ia bertujuan menipu pembayaran cukai" katanya.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat ikrar palsu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun.

Herman mengadakan sidang media berkaitan rampasan mercun. FOTO NADIM BOKHARI
Herman mengadakan sidang media berkaitan rampasan mercun. FOTO NADIM BOKHARI

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) akta yang sama iaitu percubaan mengelak pembayaran cukai.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 mengikut mana amaun yang lebih besar atau tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mengikut mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 2:08 PM