FAIZAL alami kecederaan di bahagian lutut.
FAIZAL alami kecederaan di bahagian lutut.

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki kebangsaan menerima tamparan awal menjelang Piala Negara-Negara di Poland yang dijadual berlangsung dari 31 Mei hingga 9 Jun ini apabila tonggak jentera serangannya, Faizal Saari mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

Susulan kecederaan itu, Faizal tidak diturunkan ketika perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Stadium Nasional di Gniezno semalam yang menyaksikan skuad negara tewas 4-1.

Pengendali skuad negara, Sarjit Singh berkata, Faizal kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan di bahagian lutut dialaminya ketika sesi latihan kira-kira dua hari lalu.

"Bola terkena lututnya tetapi kecederaan itu tidak serius. Dia sepatutnya boleh pulih dengan segera," kata Sarjit dalam satu hantaran di laman sesawang Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan ranking ke-16 dunia, Pakistan, Perancis (kesembilan) dan Kanada (ke-20) manakala Kumpulan A disertai Austria, Korea Selatan, New Zealand, Poland dan Afrika Selatan.

Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia dijadual membuka tirai kejohanan bertemu Pakistan pada Jumaat ini sebelum bertemu Perancis (2 Jun) dan Kanada (5 Jun).

Sarjit berkata, dia gembira kerana pasukan tiba lebih awal di Poland bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca serta gelanggang pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 10:38 PM