Dua lelaki yang ditahan APMM Zon Maritim Kuala Kedah kerana menangkap ikan menggunakan bubu naga. FOTO IHSAN APMM
Dua lelaki yang ditahan APMM Zon Maritim Kuala Kedah kerana menangkap ikan menggunakan bubu naga. FOTO IHSAN APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua nelayan remaja yang menangkap ikan menggunakan bubu kambang atau bubu naga gagal melarikan diri apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.

Kedua-duanya berusia 18 tahun itu ditahan dalam Op Aman sekitar 0.4 batu nautika perairan Pantai Dulang, Yan pada 11.40 pagi tadi.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mereka dilihat membuang sebahagian bubu naga yang baru sahaja dinaikkan di atas bot fiber ke dalam laut.

Katanya, kedua-dua nelayan itu cuba melarikan diri, namun bot tanpa nombor pendaftaran itu berjaya dipintas dan ditahan bot peronda selepas mengejar hampir 10 minit.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemukan 20 set bubu naga serta sejumlah hasil tangkapan laut dianggarkan kira-kira 10 kilogram bernilai RM180.

"Berikutan itu, hasil tangkapan, bubu naga, peralatan dan bot beserta sebuah enjin yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM 28,580 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah dan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:08 PM