APMM Zon Maritim Kuala Perlis menahan tujuh nelayan yang menjalankan aktiviti pengangkapan siput retak seribu secara haram di perairan Kuala Perlis. FOTO ihsan APMM
APMM Zon Maritim Kuala Perlis menahan tujuh nelayan yang menjalankan aktiviti pengangkapan siput retak seribu secara haram di perairan Kuala Perlis. FOTO ihsan APMM
Aizat Sharif


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menahan tujuh nelayan selepas didapati melakukan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu di sekitar perairan Kuala Perlis, di sini, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, nelayan itu ditahan antara 5.30 petang hingga 5.45 petang di kedudukan 2.9 batu nautika barat daya Kuala Perlis.

"Hasil maklumat orang awam, anggota APMM yang melakukan rondaan rutin Op Aman mengesan tiga bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Kuala Perlis.

"Anggota menahan bot berpangkalan di Kuala Perlis itu dan memeriksa tiga tekong serta empat kru bot berusia antara 22 hingga 66 tahun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merampas satu set sangkar besi berupa tangguk siput dianggarkan bernilai RM500 serta hasil laut jenis siput retak seribu seberat 550 kilogram.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengendalikan bot tanpa lesen sah.

Katanya, selain itu, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

"Berdasarkan siasatan awal, modus operandi nelayan terbabit kegiatan penangkapan siput jenis retak seribu adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut bergalah atau dipanggil enjin ekor biawak.

"Malah, kami mendapati, kru dua bot itu membuang sangkar besi berupa tangguk siput itu ke dalam laut bagi menghapuskan bukti terhadap kegiatan dilakukan mereka.

"Aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis adalah satu kesalahan kerana Jabatan Perikanan Negeri Perlis tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti berkenaan," katanya.

Beliau berkata, aktiviti itu boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka masa panjang, mengancam pembiakan, memusnahkan benih ikan di dasar laut serta turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai.

Menurutnya, lesen atau permit untuk aktiviti itu hanya dikeluarkan di Kedah dan bukannya di Perlis dan nelayan negeri itu hanya dibenarkan menjalankan aktiviti berkenaan di perairan di negeri itu sahaja.

"Rententan aktiviti haram itu, nelayan pesisir pantai di Perlis terpaksa menanggung kerugian apabila pukat mereka rosak dan koyak kerana tersangkut dengan kulit siput mati.

"Anggaran keseluruhan rampasan termasuk tiga bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu adalah sekitar RM22,830," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:08 PM