ABDUL Wahab (gambar kecil, kiri) ditemui selamat selepas lima hari berlindung di pantai akibat bot tersangkut di beting pasir dan tidak cukup minyak. FOTO Ihsan JBPM Sarawak.
ABDUL Wahab (gambar kecil, kiri) ditemui selamat selepas lima hari berlindung di pantai akibat bot tersangkut di beting pasir dan tidak cukup minyak. FOTO Ihsan JBPM Sarawak.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tiada yang lebih menggembirakan buat Fatihah Abdul Wahab, selain berita penemuan ayahnya, Abdul Wahab Mohd Yusof yang hilang selepas ke laut sejak lima hari lalu.

Fatihah berkata, beliau dimaklumkan ayahnya yang berusia 59 tahun ditemui di Pantai Mas, Kuala Paloh, Daro di Mukah dalam keadaan selamat, hari ini.

Beliau berkata, ayahnya yang juga pesara tentera keluar dari kediamannya di Bintangor di Sarikei, Jumaat lalu dan menempuh perjalanan kira-kira empat jam ke Kuala Paloh, hanya disebabkan mahu melihat rakannya memukat ikan.

"Ayah keluar dan menaiki perahu selepas solat Jumaat dan memberitahu kami dia hendak ke Kuala Paloh.

"Kami hairan kerana ayah tidak pernah pergi sejauh itu dan selama ini dia hanya menangkap ikan di sungai sahaja, bukannya di laut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fatihah berkata, pada petang Jumaat, mereka gagal menghubungi ayahnya dan selepas itu pelbagai usaha dilakukan untuk mengesannya termasuk mendapatkan bantuan penduduk di Belawai dan Kuala Paloh.

"Selepas itu, ayah terus gagal dikesan dan kami amat bimbangkan keselamatannya, tambahan pula ketika ini laut bergelora dan perahu yang dinaikinya bukan jenis sesuai untuk ke laut.

"Selepas lima hari berusaha dan berdoa, akhirnya pagi tadi kami menerima maklumat daripada pasukan penyelamat yang ayah sudah ditemui selamat," katanya sambil mengucapkan syukur apabila ayahnya ditemui pada 16 Ramadan.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya hanya menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 8.48 malam semalam.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 7 pagi hari ini oleh tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis.

Turut serta dalam operasi itu anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa ditemui di Pantai Mas, Kuala Paloh dan dia dalam keadaan letih.

"Perahu dan enjin tidak mengalami masalah, cuma tersangkut pada beting pasir dan berikutan cuaca tidak elok, mangsa mencari perlindungan di kawasan pantai," katanya.

Katanya lagi, mangsa gagal dihubungi kerana telefon bimbitnya mengalami kerosakan selepas terkena air dan minyak enjin perahunya tidak mencukupi untuk pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 1:47 PM