Fatihah sebak cabut plat nama ayah di Parlimen. FOTO Fatihah Salahuddin
Fatihah sebak cabut plat nama ayah di Parlimen. FOTO Fatihah Salahuddin
Essa Abu Yamin


Kuala Lumpur: Anak Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Fatihah Salahuddin melahirkan rasa sayu dan sebak apabila hadir ke Parlimen bagi mencabut plat nama ayahnya pada semalam.

Fatihah meluahkan rasa sayu dan sebaknya kerana terkenangkan ayahnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

"Saya memakai baju kemeja putih ayah hari ini (semalam) ke Parlimen untuk mencabut plat nama ayah di Dewan Rakyat.

"Rasa sayu dan sebak sebaik saja saya masuk ke dalam dewan, jatuh juga air mata tadi mengenangkan ayah.

"Rasanya baru seperti semalam kami bekerja keras untuk memenangkan ayah di Parlimen Pulai," katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya.

Menurut Fatihah, Parlimen menjadi satu keluarga besar dan Allahyarham sudah menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal (2004-2013) dan Ahli Parlimen Pulai (2018-2023).

"Secara peribadi, Parlimen adalah keluarga besar buat saya. Saya berpeluang bekerja dengan warga Parlimen sebagai Setiausaha Sulit Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof sejak 2018 hingga 2020.

"Kemudian, berkhidmat dengan ayahanda tercinta sebagai pegawai khasnya daripada 2020 sehingga Parlimen dibubarkan pada 2022," katanya.

Jelasnya, sepanjang tempoh terbabit, dia diberikan kepercayaan oleh bapanya untuk menguruskan segala hal ehwal Parlimen daripada menyediakan soalan-soalan bagi pertanyaan jawab lisan sehinggalah membuat usul.

"Bagi pihak ayah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Parlimen Malaysia yang selama ini memberikan perkhidmatan terbaik buat ayah. Tidak terbalas jasa baik kalian.

"Sudah dua minggu ayah tinggalkan kita semua, kerusi ini adalah milik rakyat. Datangnya daripada mandat rakyat, pulangnya kepada rakyat yang bakal memilih dan memberi mandat," katanya.

Salahuddin disahkan meninggal dunia pada 9.23 malam ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, 23 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 1:41 PM