WARGA SK Paloh 2 di sini kini melaksanakan kuarantin kendiri susulan terdapat 15 kes positif melibatkan kluster Jalan Murni 1, Paloh, di sini. FOTO Ihsan Sheikh Omar
WARGA SK Paloh 2 di sini kini melaksanakan kuarantin kendiri susulan terdapat 15 kes positif melibatkan kluster Jalan Murni 1, Paloh, di sini. FOTO Ihsan Sheikh Omar
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh 2 di sini kini melaksanakan kuarantin kendiri susulan terdapat 15 kes positif membabitkan kluster Jalan Murni 1, Paloh, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Sheikh Omar Ali berkata, pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang sudah menjalankan ujian calitan kepada kira-kira 250 murid, guru dan kakitangan sekolah, manakala ujian calitan kedua akan dilakukan esok.

"Saya sudah ke sekolah berkenaan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 15 kes positif Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan ujian calitan pertama dijangka keluar tengah hari esok dan pihaknya kini membantu menguruskan bantuan makanan dan kanopi kepada petugas KKM serta warga sekolah berkenaan.

"Kerisauan kita sekarang ini adalah belum pernah berlaku kluster Covid-19 di Paloh.

"Saya berharap orang ramai menitikberatkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kerana memang ada yang sudah merentas negeri dan daerah, saya harap perkara ini tidak melekakan kita," katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Omar mengesahkan surat mengenai perkara berkenaan diedarkan kepada seluruh warga sekolah yang memaklumkan mengenai penangguhan sesi persekolahan bersemuka.

Katanya, penangguhan itu dibuat mulai Ahad lalu atas nasihat Pusat Kesihatan Daerah dan tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Johor kerana semua guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) sedang menjalani kuarantin kendiri.

"Sehubungan itu semua guru akan mengikuti konsep Bekerja dari Rumah (BDR) dengan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPr) mengikut kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana penularan Covid-19 berlaku di sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 2:31 PM