GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Rakyat negeri ini dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan aktiviti sepanjang Ramadan berikutan masih terdapat penularan kes Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ketika ini daerah Kota Setar merekod peningkatan kes membabitkan kluster berkaitan majlis keagamaan selain kluster-kluster lain yang masih aktif.

"Siasatan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri mendapati kluster berkaitan majlis keagamaan ini tercetus pada majlis tadarus, (kerana) mereka tidak pakai pelitup muka dan duduk pula dekat-dekat.

"Sedangkan mereka yang nak bertadarus ini, kita sudah menetapkan SOP. Seharusnya aktiviti tadarus perlu memakai pelitup muka dan duduk dalam jarak satu meter antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perasmian Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Kedah di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, sekiranya kes semakin meningkat mungkin Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) akan mengeluarkan arahan tertentu untuk mengekang aktiviti keagamaan seperti yang berlaku pada tahun lalu.

"Kita sudah hadapinya pada tahun lalu, solat tarawih hanya dibenarkan tiga orang sahaja. Jadi kita tidak mahu angka kluster ini semakin meningkat pada tahun ini, maka semua orang dinasihatkan patuhi SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:57 PM