GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jumlah individu yang dijangkiti Covid-19 di Relau, Bandar Baharu meningkat apabila 12 lagi individu disahkan positif menjadikan jumlah penduduk yang dijangkiti kepada 223 orang sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, virus itu mudah merebak dalam kalangan penduduk selain ada yang tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Kewujudan kes di Relau berlaku apabila ada individu yang mengajar dan menyertai program tadarus yang kebanyakannya disertai golongan berusia serta kurang pendengaran.

"Pengajar yang dijangkiti Covid-19 pula membuka pelitup muka bagi membolehkan suaranya lebih jelas didengari peserta.

"Dan mereka juga duduk dekat, dalam masa sama ada juga yang buka pelitup muka," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, seramai 772 penduduk Relau di Bandar Baharu dilaporkan diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas ujian saringan Covid-19 dilakukan ke atas 1,028 penduduk di kawasan itu.

Dr Mohd Hayati berkata, daripada jumlah saringan itu, seramai 211 penduduk didapati positif Covid-19 membabitkan 106 lelaki dan 105 wanita.

Menurutnya, kewujudan kluster baharu yang semakin banyak di Kedah sejak kebelakangan ini juga tidak diketahui puncanya, malah variannya juga semakin ganas kerana mudah merebak.

"Kluster yang wujud ini kita tidak tahu dari mana, tiba-tiba saja di satu tempat itu seperti di Gurun ada kes, tapi tidak berkait dengan kluster lama, jadi kita jadikan ia kluster baharu.

"Jadi saya minta, tolonglah patuh prosedur operasi standard (SOP) dan elak berada di tempat orang ramai," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 6:52 PM