Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lebih 100 individu di Relau, Bandar Baharu dekat sini, didapati positif Covid-19 sejak kelmarin, menyebabkan aktiviti harian di pekan kecil itu lumpuh selepas lebih separuh penduduknya terpaksa dipindahkan ke Hospital Kulim.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pada masa sama semua penduduk diarah menjalani proses kuarantin di rumah selama 14 hari bagi mengekang pandemik itu.

Beliau berkata, pandemik berkenaan tercetus selepas seorang penduduk wanita yang positif Covid-19 menghadiri majlis keagamaan di kawasan berkenaan.

"Ketika ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah masih meneruskan ujian saringan kontak rapat yang hadir pada majlis dihadiri wanita berkenaan baru-baru ini.

"Ada antara mereka dibawa ke hospital menggunakan bas dan van Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi menjalani ujian saringan dan kebanyakan mereka adalah warga emas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, tular gambar dipercayai penduduk di Relau dibawa menaiki bas dan van ke hospital bagi tujuan saringan Covid-19 yang dipercayai berpunca daripada seorang wanita yang hadir di majlis tadarus sebelum ia merebak kepada jemaah masjid dan ahli keluarga.

Dr Mohd Hayati berkata, pihak JKN turut membawa penduduk yang mengalami gejala ke hospital bagi mengelak mereka berhubung bersama ahli keluarga sihat di rumah.

"Saya tidak pasti berapa jumlah mereka yang dibawa untuk lakukan saringan, tetapi memang ramai kerana yang bergejala turut dibawa berikutan bimbang mereka akan positif dalam tempoh dua minggu.

"Cuma sekarang, kita bimbang sudah ramai dijangkiti, namun tidak mempunyai simptom dan setakat ini hospital kita masih lagi mampu tampung jumlah mereka," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Berikutan itu, Dr Mohd Hayati meminta individu yang mempunyai kontak rapat atau mempunyai simptom agar tampil melakukan saringan selain bersikap jujur mengenai keadaan kesihatan mereka.

Beliau berkata, mungkin ramai penduduk tidak perasan sudah dijangkiti kerana tidak mempunyai simptom, tetapi apabila ada majlis agama dan sebagainya, mereka bersembang rapat dan tidak pakai pelitup muka termasuk bersalaman dan berpelukan.

"Kita bimbang kerana banyak kes sekarang tidak bergejala, jadi sila ambil perhatian dan kita tidak mahu wabak ini terus berjangkit kepada golongan yang berisiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:22 PM