GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jemaah yang melaksanakan aktiviti keagamaan di masjid dan surau digalakkan memakai pelitup muka berikutan peningkatan penularan kes Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Abd Ghani@Zulkifli Zainudin berkata, arahan itu dikeluarkan selaras saranan Kementerian Kesihatan (KKM) agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, ia bertujuan memastikan penularan virus Covid-19 terutama dalam kalangan penduduk dapat dikawal dan dicegah.

"Adalah digalakkan memakai pelitup muka ketika melaksanakan aktiviti solat berjemaah, menghadiri kuliah dan sebagainya.

"Jemaah yang berisiko terhadap jangkitan Covid-19 dan individu yang mempunyai simptom demam, selesema dan batuk dinasihatkan agar tidak menghadiri sebarang aktiviti keagamaan di masjid dan surau," katanya.

Katanya, pihaknya menasihatkan setiap jemaah mengambil langkah pencegahan seperti yang disarankan KKM.

Sementara itu, tiga daerah di Kedah iaitu Kulim, Kuala Muda dan Alor Setar mencatatkan jangkitan Covid-19 yang membimbangkan.

Perkara itu disebabkan peningkatan kemasukan pengunjung berikutan musim cuti persekolahan selain negeri ini menjadi laluan untuk memasuki Thailand.

Timbalan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Norizan Ismail berkata, setakat 23 Disember lalu, lebih 9,000 kes Covid-19 direkodkan dengan 40 kematian.

Menurutnya, laporan kes paling tinggi adalah di Kulim, Kuala Muda dan Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 10:39 AM