GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Majlis Islam Sarawak (MIS) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mengecualikan bilal dan khatib daripada memakai pelitup muka ketika menjalankan tugas di masjid dan surau.

MIS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilal tidak perlu memakai pelitup muka ketika melaungkan azan manakala khatib pula dibenarkan membukanya ketika membaca khutbah.

Turut dikecualikan, penceramah yang menyampaikan kuliah atau forum di masjid dan surau dengan penjarakan fizikal yang wajar.

Bagaimanapun pemakaian pelitup muka untuk jemaah atau individu lain di kawasan masjid dan surau di negeri ini adalah diwajibkan.

Pada 22 Mac lalu, MIS mengumumkan umat Islam di negeri ini dibenarkan menunaikan solat Jumaat, solat fardu, solat sunat, khutbah dan wirid selepas solat di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April.

Itu antara SOP yang diputuskan selaras dengan situasi semasa wabak Covid-19 di bawah fasa peralihan ke endemik Covid-19 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu.

Semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti mengaji, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf, khatamal Al-Quran dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 3:58 PM