FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Solat Jumaat, fardu, sunat, khutbah dan wirid selepas solat dibenarkan tanpa penjarakan fizikal di semua surau dan masjid di Sarawak selaras dengan Fasa Peralihan Endemik, 1 April ini.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataan hari ini bagaimanapun memaklumkan semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti pengajian, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf dan khatamal al-Quran adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.

"Penganjuran aktiviti sosial yang sesuai diadakan di masjid dan surau juga adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal manakala jamuan dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semasa.

"Pengurusan dan pengkebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal," katanya.

Menurutnya, di sebalik kelonggaran yang diberi, SOP utama yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 perlu dipatuhi.

Katanya, orang ramai wajar menggunakan pelitup muka sepanjang masa, mendaftar kehadiran melalui MySejahtera sebelum masuk ke dalam masjid serta surau dan digalakkan membawa sejadah atau alas sujud sendiri.

Bagaimanapun individu yang masih dalam tempoh notis kuarantin Covid-19 atau mempunyai gejala demam, selsema, batuk atau sesak nafas adalah dilarang menghadiri solat serta semua aktiviti lain di masjid dan surau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 1:50 PM