GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Semua 11 daerah negeri ini berada dalam zon merah Covid-19 dengan hanya beberapa kawasan daripada 132 mukim berada dalam zon jingga dan kuning.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kebanyakan kes positif yang berlaku adalah membabitkan sporadik dan bukan berkaitan kluster.

"Kes disebabkan saringan kendiri yang dilakukan individu yang bergejala serta kontak rapat. Dahulu kita ada kluster pendidikan, umrah, kilang dan sebagainya tetapi sekarang tiada lagi, ada untuk kes tertentu sahaja.

"Boleh dikatakan ketika ini majoriti mukim berada dalam zon merah, malah di setiap kampung juga kebanyakan akan ada individu positif Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, bagaimanapun majoriti kes adalah membabitkan pesakit Kategori Satu dan Dua dan hanya sedikit kes membabitkan kes kritikal.

Katanya, berikutan itu individu yang dijangkiti Covid-19 dan mengalami selsema atau demam dinasihatkan melakukan kuarantin di rumah.

"Ketika ini di sesetengah negara, mereka isytiharkan Covid-19 sebagai selsema sahaja dan ada yang sudah memasuki fasa endemik. Kita di Malaysia masih perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya.

Berdasarkan data 14 hari rekod kes Covid-19 mengikut mukim yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri bermula 7 hingga 20 Februari 2022, sehingga semalam, Kedah mencatatkan 29,372 kes aktif dan sebanyak 2,254 adalah kes baharu.

Daerah Kota Setar mencatatkan kes aktif tertinggi iaitu sebanyak 6,981 kes diikuti Kuala Muda 6,690 kes, Kulim 4,084 kes dan Kubang Pasu 4,016 kes diikuti daerah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 4:56 PM