PERTUBUHAN Imaan Malaysia memberi juadah berbuka kepada orang awam.
PERTUBUHAN Imaan Malaysia memberi juadah berbuka kepada orang awam.
Redzuan Muharam


Kuala Terengganu: Keinginan membantu masjid di kawasan luar bandar mendorong ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pertubuhan Imaan Malaysia mengumpul dana bagi membeli juadah berbuka puasa dan moreh bagi diagihkan kepada jemaah masjid serta penduduk setempat.

Mereka terdiri daripada tiga anak muda iaitu Presiden pertubuhan, Muhammad Jantan, 27; Naib Presiden, Muhammad Ali, 27; Wan Sharmaine Izani Wan Sarbi, 25 dan pesara, Ali Shariff, 66.

Ali selaku pegawai pengurusan dan agihan berkata, usaha mengumpul dana itu dilakukan lebih awal iaitu sebulan sebelum Ramadan menerusi platform rasmi pertubuhan di Facebook (Fb) dan Twitter.

"Pertubuhan kami masih baru dan ditubuhkan bagi membantu penduduk kawasan luar bandar sekitar Terengganu dan masjid yang memerlukan.

"Satu daripada inisiatif giat dilaksanakan pada Ramadan ini adalah mengumpul dana bagi membeli juadah berbuka puasa dan moreh.

"Niatnya kami adalah membantu meringankan beban pengurusan masjid yang memerlukan, dan pada masa sama memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang seterusnya mendapat sama ganjaran pahala di bulan Ramadan," katanya ketika dihubungi Harian Metro

Ali yang juga bapa lima anak berkata, pihaknya sudah mendapatkan dana bagi membantu tiga masjid di daerah ini.

Katanya, ketiga-tiga masjid itu akan mendapat bantuan dana bagi juadah berbuka puasa dan moreh daripada awal hingga akhir Ramadan.

"Selain menyalurkan dana, kami turut membantu membuat agihan makanan.

"Sementara, tempahan makanan dibuat oleh pihak masjid dan terpulang kepada mereka untuk berurusan dengan pihak katering atau pengusaha makanan.

"Dua lagi kempen dilaksanakan adalah majlis khatam Al-Quran di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemuroh dan tajaan dana berbuka dan sahur untuk Madrasah Seberang Tuan Chik (STC) pada 10 Ramadan terakhir," katanya.

Di sebalik sokongan, Ali tidak menafikan ada segelintir pihak yang mengecam usaha pertubuhannya itu selepas menghebahkan inisiatif di laman sosial.

"Tak mengapa, terpulang kepada persepsi masing-masing kerana kami sekadar mahu membantu.

"Ini kerana tidak semua masjid mempunyai kewangan kukuh seperti disangka lebih-lebih lagi sejak adanya pandemik yang menyebabkan bilangan jemaah dihadkan.

"Namun, terima kasih kepada semua yang membantu dan diharap usaha kita semua mendapat keberkatan Allah di bulan mulia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 5:58 PM