FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Perak membenarkan majlis iftar atau berbuka puasa dan moreh selepas solat tarawih di semua masjid di negeri itu sepanjang Ramadan ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya akan menyediakan garis panduan berhubung perkara itu yang dikeluarkan dalam masa terdekat.

"SOP yang lebih terperinci akan diedarkan kepada semua masjid dalam sehari dua lagi. Apa yang boleh saya katakan setakat ini, hidangan secara berhidang turut dibenarkan, tidak hanya juadah secara bungkus.

"Keputusan sama ada juadah secara hidang atau juadah secara bungkus, ia terpulang kepada jawatankuasa masjid masing-masing. Yang penting praktikkan SOP dan kena ada penjarakan (fizikal)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tidak membenarkan jamuan makan diadakan di masjid atau surau termasuk pekaranganya walaupun membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau negeri itu dengan bilangan jemaah mengikut kapasiti keluasan dewan solat.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad pada minggu lalu menyatakan kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan JAIPk supaya masjid di negeri itu menganjurkan bazar Ramadan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:51 PM