PENUNTUT universiti menerima bantuan juadah berbuka daripada pihak universiti dan syarikat korporat.
PENUNTUT universiti menerima bantuan juadah berbuka daripada pihak universiti dan syarikat korporat.
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga dan 'mengikat perut', kehadiran bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut dengan rasa syukur oleh warga kampus kerana ia menjadi medan mencabar diri ketika menuntut ilmu serta berjimat.

Pada masa sama, keprihatinan pelbagai pihak terutamanya pihak universiti dan syarikat korporat menghulurkan sumbangan juadah berbuka puasa turut memberi kelegaan kepada mereka ketika berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Bagi Ahmad Hafizuddin Zazani, 23, yang kini mengikut pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains Bahan dan Teknologi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, bersahur dengan air kosong sudah menjadi kebiasaan buat dirinya.

Anak ketiga dari empat beradik itu berkata, menunaikan ibadah puasa sebagai seorang pelajar bukanlah beban atau kesukaran sebaliknya ia tetap dianggap sebagai rezeki untuk belajar erti bersyukur.

"Saya selalu bersahur dengan air kosong tapi saya tidak mengatakan ia saat sukar kerana mungkin pada diri ini saya sudah terbiasa dan dapat bertahan berpuasa sepanjang hari dengan air kosong sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Dia yang kehilangan ayah bersyukur kerana menerima bantuan pinjaman pendidikan untuk menampung kos pengajian.

Menyedari dia bukan berasal dari keluarga mewah yang mampu membeli dan memiliki segala dihajati, berjimat cermat menjadi keutamaan dirinya untuk menamatkan pengajian.

"Ibadah puasa adalah waktu terbaik saya berjimat cermat kerana sepanjang Ramadan saya berbelanja kurang dari RM10 setiap hari adakalanya tidak berbelanja langsung kerana berbuka di masjid UiTM.

"Tidak dinafikan ada masa saya tertarik dengan sesuatu makanan namun terpaksa menahan hasrat itu kerana harganya mahal tetapi tidak mengapa, saya berkata pada diri saya sabar dan berusaha insya-Allah satu hari nanti saya mampu makan makanan itu," katanya yang tinggal di rumah sewa di Seksyen 7, di sini.

Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Pengkomputeran Multimedia, Hanis Zulaikha Hamid, 23, pula ada ketika dia terpaksa meminjam wang rakan untuk membeli juadah berbuka.

Anak sulung dari dua beradik itu juga lebih suka berdikari dan memanfaatkan pinjaman pendidikan diterima kerana tidak mahu membebankan ayahnya yang sakit dan tidak dapat bekerja di Pendang, Kedah.

"Pengalaman sukar dilupakan sewaktu berbuka puasa dan bersahur, saya terpaksa meminjam wang dari rakan untuk membeli juadah berbuka puasa kerana wang pinjaman pendidikan belum dikreditkan kepada saya tetapi Alhamdulillah sekarang saya sudah terima pinjaman itu.

"Saya akui menghadapi kesukaran dan cabaran terutama pelajar kurang berkemampuan seperti saya tetapi inisiatif UiTM menyediakan juadah berbuka serta moreh di masjid UiTM dapat meringankan beban saya.

"Tambahan pula, banyak kenaikan harga barang pada masa kini membuatkan saya terpaksa berjimat cermat. Pada waktu sahur, saya makan roti atau biskut berserta air kosong untuk mengalas perut," katanya yang tinggal di Kolej Mawar UiTM Shah Alam.

Demi meneruskan kehidupan di kampus yang terletak di tengah bandar raya dengan kos hidup tinggi, Ahmad Hakim Ahmad Khairulddin, 22, yang juga penuntut Sarjana Muda Pengajian Sukan pula memilih untuk melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan.

"Saya pernah ikat perut untuk berjimat cermat sehingga mengambil keputusan untuk bekerja sambilan sebagai penghantar makanan dan itu menjadi kerja saya sehingga kini untuk 'survive' di sini.

"Jika hari saya buat penghantaran makanan, adakala saya terpaksa berbuka agak lewat, jika tiada penghantaran saya berbuka di masjid UiTM. Saya tinggal di rumah sewa, waktu sahur nasi, telur goreng dan kicap menjadi juadah harian saya," katanya.

Anak sulung dari empat beradik itu berkata, walaupun berdepan cabaran untuk menamatkan pendidikan, semangatnya tetap utuh bagi membalas jasa ibunya yang gigih membesarkan mereka dengan berniaga roti yang dihantar ke sekolah di sekitar bandar Masjid Tanah, Melaka.

Bagaimanapun dirinya bersyukur kerana mampu menjalani ibadah puasa selain berusaha untuk bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan pengajiannya di kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 7:00 AM