Asrizal Aris


BUKAN setahun dua, tetapi sudah 27 tahun Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengekalkan tradisi makan dalam dulang pada waktu berbuka sepanjang Ramadan.

Tradisi yang diamalkan sejak 1990 itu menyediakan makanan untuk kira-kira 1,200 jemaah terdiri daripada penuntut UKM dan penduduk sekitar kawasan kampus.

Imam Masjid UKM, Ismail Muhammad, 41 berkata, sebanyak 300 dulang digunakan setiap hari untuk menghidangkan juadah berbuka kepada jemaah masjid.

Menurutnya, proses penyediaan hidangan dilakukan sukarelawan terdiri daripada penuntut universiti yang digelar 'pramusaji Ramadan'.

"Kira-kira 20 penuntut akan terbabit dalam penyediaan juadah termasuk menyiapkan ruang makan, mengagihkan makanan dan membersihkan perkakasan serta peralatan memasak.

"Dalam setiap dulang ada dua lauk, ayam atau daging serta sayur dengan menu ditukar setiap hari. Jemaah turut diberikan kurma dan minuman," katanya ketika ditemui di Masjid UKM Bangi.

Ismail berkata, dana untuk penyediaan juadah itu diperoleh menerusi Tabung Sumbangan Ihya' Ramadan yang dilancarkan sejak April lalu.

"Selain mengeratkan hubungan antara pelajar dan pentadbiran, tradisi ini diamalkan setiap tahun untuk menggandakan pahala bagi mereka yang membantu secara sukarela menyediakan makanan kepada jemaah, sekali gus mengajak lebih ramai pelajar dan penduduk sekitar memenuhi ruang masjid untuk menunaikan solat tarawih.

Sementara itu, Ahli Pramusaji, Siti Nabilah Ahmad Shabri, 21, berkata, meskipun kali pertama berkongsi hidangan bersama jemaah yang baru dikenali dalam satu dulang, tidak menghalangnya untuk merasai kelebihan yang diperolehi daripada amalan itu.

"Selain kami boleh menjimatkan perbelanjaan kami sebagai pelajar di sini, kami boleh menggandakan pahala dengan bersedekah 'tenaga' kami untuk memberi jemaah makan di masjid.

"Pengalaman makan dalam dulang beramai-ramai antara yang tidak boleh dilupakan kerana di rumah sendiri pun tidak pernah dipraktikkan. Ternyata ia mengeratkan lagi hubungan sesama umat," katanya.

Menurut penuntut semester dua itu, biarpun waktu ini adalah minggu mengulang kaji pelajaran, pelajar yang hadir tetap ramai sehingga ada yang tidak cukup makanan.

Penuntut, Nur Maulan Mohd Said, 22, berkata, selain menjimatkan perbelanjaan, berbuka puasa di masjid mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pelajar dan jemaah di kawasan sekitar.

"Masjid UKM bukan sahaja dipenuhi dengan pelajar namun turut menerima kunjungan daripada penduduk sekitar serta pelajar dari universiti lain kerana keunikan makan dalam dulang.

“Setiap masjid masing-masing ada kelebihan namun apa pun juadah yang disediakan, pendekatan ini mendidik orang ramai untuk mengimarahkan masjid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 10:39 PM
Suasana berbuka di Masjid UKM yang mengekalkan tradisi makan dalam dulang sejak 27 tahun lalu. FOTO Asrizal Alias
Suasana berbuka di Masjid UKM yang mengekalkan tradisi makan dalam dulang sejak 27 tahun lalu. FOTO Asrizal Alias