Redzuan Muharam


Bangi: Pertubuhan khidmat pengurusan jenazah, Amal Team meneruskan aktiviti khidmat masyarakatnya dengan menjalankan agihan makanan percuma kepada penduduk sekitar Bandar Baru Bangi, di sini, sepanjang Ramadan ini.

Pengasasnya, Mohd Zulhairi Zainol, 37, berkata, aktiviti itu adalah kesinambungan inisiatif yang dilakukan sejak lapan bulan lalu di pusat agihan bantuan dekat Warung Amal Team, Seksyen 7, di sini.

Namun, Mohd Zulhairi berkata, agihan kali ini tidak tertumpu kepada keluarga asnaf dalam senarai pertubuhan dan golongan kurang bernasib baik saja tetapi terbuka kepada semua.

Katanya, agihan kepada penerima dilakukan bermula kelmarin seawal 5 petang hingga sebelum masuk waktu berbuka puasa.

"Amal Team ditubuhkan sejak enam tahun lalu dan tertumpu kepada khidmat pengurusan jenazah percuma daripada proses memandi, mengkafankan dan penghantaran ke tanah perkuburan

"Sejak lapan bulan lalu, kita memperluaskan kerja khidmat masyarakat dengan menyewa sebuah premis diberi nama Warung Amal Tema bagi dijadikan pusat agihan makanan dan barangan keperluan kepada asnaf serta golongan kurang bernasib baik.

"Sempena Ramadan, kita teruskan aktiviti itu untuk semua penduduk sekitar kerana menyedari besarnya pahala memberi makan kepada orang yang berpuasa," katanya ketika ditemui di Warung Amal Team, di sini.

Menurut Mohd Zulhairi, 300 pek makanan diagihkan sejak hari kedua Ramadan membabitkan kos RM3,000 hasil dana diperoleh daripada penyumbang.

Katanya, sambutan agak memberangsangkan kerana penduduk berhampiran sudah dimaklumkan lebih awal mengenai aktiviti agihan itu.

"Untuk minggu pertama dan kedua, kita agihkan nasi kandar, tau fu fa, bubur pulut hitam, kurma dan beberapa makanan sampingan.

"Manakala, pek nasi tomato dan makanan sampingan akan diagihkan pada minggu ketiga dan terakhir Ramadan.

"Sebahagian makanan dibeli daripada peniaga kecil sebagai inisiatif untuk membantu mereka dan secara peribadi, saya berpuas hati kerana dapat membantu penerima serta menyampaikan amanah penyumbang buat mereka," katanya

Sementara itu, penerima, Mohd Faizal Yasin, 39 menyambut baik inisiatif Pertubuhan Amal Team kerana memudahkan penduduk khususnya yang kurang berkemampuan.

Katanya, penganjuran aktiviti berkenaan juga dapat membantu penduduk yang tidak sempat ke bazar Ramadan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Kini, ramai yang diberhentikan kerja jadi inisiatif seperti ini amat baik dalam membantu mereka yang kesempitan wang mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Saya dan isteri juga ada kalanya mengambil juadah di sini jika tidak sempat ke bazar Ramadan tetapi mengambil kesempatan untuk menyumbang ke tabung Amal Team, ibarat kami membeli sambil beramal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 8:54 PM
Amal Team mengagihkan makanan percuma kepada penduduk sekitar Bandar Baru Bangi sepanjang Ramadan ini.
Amal Team mengagihkan makanan percuma kepada penduduk sekitar Bandar Baru Bangi sepanjang Ramadan ini.