Khairul Dzaimee menunjukkan barang rampasan daripada dua sindiket pemalsuan dokumen. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Khairul Dzaimee menunjukkan barang rampasan daripada dua sindiket pemalsuan dokumen. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Imigresen mematahkan dua sindiket pemalsuan dokumen pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu menerusi dua serbuan berasingan sekali gus menahan 18 suspek.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kes pertama membabitkan serbuan oleh Jabatan Imigresen Negeri Selangor menerusi Ops Serkap di Ampang pada 5 Mac lalu.

“Hasil operasi ini, antara yang dirampas ialah 110 pasport Bangladesh dengan tiga daripadanya palsu selain mesin pencetak dan komputer riba.

“Susulan itu, lapan lelaki Bangladesh berusia 30 hingga 46 tahun ditahan.

“Lima suspek terbabit tiada dokumen, dua lelaki ada pasport Bangladesh manakala seorang lagi memiliki pasport palsu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, sindiket pemalsuan dokumen itu terbabit dengan kegiatan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Untuk kes kedua, Khairul Dzaimee berkata, ia membabitkan serbuan bagi sindiket pemalsuan dokumen PLKS palsu oleh Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya di Subang Jaya pada 6 Mac lalu.

Katanya, menerusi serbuan itu 10 suspek lelaki ditahan membabitkan sembilan Bangladesh dan seorang warga tempatan.

“Hasilnya, 1,040 pasport pelbagai negara dengan kebanyakannya Bangladesh dirampas selain beberapa dokumen palsu, resit dan peralatan digunakan mencetak dokumen.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak lima hingga enam tahun lalu,” katanya.

Ditanya mengenai bayaran dikenakan sindiket kepada warga asing terbabit, beliau berkata, mereka dipercayai membayar RM2,500 hingga RM3,000 bagi mendapatkan setiap PLKS.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959 iaitu membuat atau memalsukan atau meminda endorsement untuk digunakan sebagai visa, permit atau pas.

Mereka berdepan dengan hukuman denda sehingga RM30,000 dan penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, bermula 1 Januari hingga 6 Mac, Jabatan Imigresen melaksanakan 3,163 operasi di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 50,851 warga asing diperiksa dengan 11,141 adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 6:29 PM