ANTARA cap yang dirampas JIM dalam serbuan di dua rumah di Ampang dan Wangsa Maju. FOTO ihsan JIM
ANTARA cap yang dirampas JIM dalam serbuan di dua rumah di Ampang dan Wangsa Maju. FOTO ihsan JIM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sindiket pemalsuan pasport dan pelbagai dokumen imigresen didalangi dua lelaki Pakistan ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua suspek berusia 32 dan 37 tahun itu meraih pendapatan mewah apabila mengenakan bayaran antara RM2,500 hingga RM4,000 untuk setiap pasport.

Menurutnya, suspek ditahan dalam siri operasi khas Unit Risikan Operasi Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan JIM Putrajaya di dua kediaman di Ampang, Selangor dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur hasil risikan dan maklumat awam.

"Serbuan dan pemeriksaan di premis pertama di Ampang menemui cap keselamatan Imigresen Malaysia, cap nama pegawai JIM, cap kedutaan asing, cap keluar masuk Pakistan, cap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), cap Hasil, cap bank dan pelbagai cap syarikat selain surat kelulusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dipalsukan.

"Serbuan di lokasi premis kedua di Wangsa Maju menemui cap nama pegawai JIM, cap pesuruhjaya sumpah, cap Majlis Agama Islam Narathiwat dan satu naskhah pasport India," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu dan menjadi perantara kepada pelanggan dalam kalangan warga asing yang ingin mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Menurutnya, suspek pertama yang berumur 32 tahun didapati tinggal lebih masa selain memiliki pasport tamat tempoh manakala suspek kedua yang berumur 37 tahun memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang suami kepada warga negara.

Beliau berkata, sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian dengan beberapa lagi ejen warga asing lain yang sudah dikenal pasti termasuk warga tempatan.

"JIM sedang memburu suspek terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh melaporkan kepada Imigresen.

"Suspek ditahan di Depot Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan lanjut.

"JIM menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:28 PM