JABATAN Imigresen menahan dua warganegara Pakistan dalam sebuah kereta di Setapak, Kuala Lumpur pada 16 Ogos lalu. FOTO IHSAN IMIGRESEN
JABATAN Imigresen menahan dua warganegara Pakistan dalam sebuah kereta di Setapak, Kuala Lumpur pada 16 Ogos lalu. FOTO IHSAN IMIGRESEN
Samadi Ahmad


Putrajaya: Tiga lelaki warganegara Pakistan yang menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen perjalanan, visa dan pasport negara-negara asing ditahan dalam satu operasi Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata, operasi berkenaan dilakukan sepasukan pegawai Imigresen daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas pada 16 dan 17 Ogos lalu di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor, hasil risikan selama tiga bulan.

Menurutnya, dua suspek berusia 32 dan 52 tahun itu ditahan ketika sedang melaksanakan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di Setapak 16 Ogos lalu.

"Susulan penangkapan itu, kedua-dua suspek membawa pasukan operasi ke kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan pada 17 Ogos.

"Hasil pemeriksaan, anggota kami berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki berperanan sebagai pembuat dokumen palsu kepada sindiket itu.

"Turut ditemui 2,320 keping dokumen yang disyaki palsu, dua set komputer, dua mesin pencetak, satu mesin pengimbas pasport, lima keping 'stamping plate' pelbagai negara, 20 unit 'silk screen frame' pelbagai negara dan satu unit 'silk screen printing table'," katanya.

Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen turut merampas dua kereta model Honda Civic dan Proton Waja.

Khairul Dzaimee berkata, hasil semakan lanjut mendapati dua suspek itu adalah pemegang Pas Lawatan Sosial yang sudah tamat tempoh dan seorang lagi suspek memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang disyaki palsu.

Menurutnya, tangkapan itu juga mendedahkan modus operandi sindiket dengan menyewa premis di kawasan perumahan mewah untuk dijadikan markas kegiatan serta tempat kediaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, sindiket itu menggunakan aplikasi media sosial sebagai medium untuk mencari pelanggan, menetapkan pertemuan dan lain-lain transaksi.

"Siasatan mendapati sindiket itu berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa dan lesen memandu.

"Dokumen ini akan digunakan sebagai satu kelebihan dalam sejarah perjalanan pemegang pasport semasa memohon visa untuk perjalanan ke negara ketiga," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu dikesan memberi fokus kepada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara ini mempunyai nilai yang tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah 'frequent traveller' ke negara-negara maju itu.

Menurutnya, sindiket turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak dua tahun lalu.

"Sindiket menggunakan aplikasi WhatApps serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan dan akan berjumpa dengan pelanggan bagi tujuan transaksi.

"Kebanyakan pelanggan pemalsuan PLKS terdiri daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang disyaki bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu kedai.

"Kadar bayaran yang dikenakan kepada pelanggan adalah sebanyak RM100 hingga RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM1,000 untuk dokumen-dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport.

Khairul Dzaimee berkata, pihak kedutaan negara-negara terbabit turut mengesahkan bahawa dokumen-

dokumen yang dirampas adalah palsu.

Katanya, seorang daripada suspek utama juga pernah diusir dari Kanada pada 2008 atas kesalahan imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 9:02 PM