Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) mewujudkan 13 penjara satelit di seluruh negara bermula awal tahun ini bagi mengatasi masalah kesesakan banduan di dalam penjara.

Pengarah Pengurusan Banduan Komisioner Ajidin Salleh berkata, tidak dinafikan, pihaknya berdepan masalah kesesakan banduan di hampir keseluruhan institusi penjara yang kini kapasitinya melebihi 50 peratus khususnya di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu selain Selangor, Lembah Klang dan Sabah.

Katanya, bagi mengatasi kesesakan banduan penjara, pihaknya mendapat kelulusan untuk menjadikan bekas lokasi Pusat Latihan Khidmat Masyarakat (PLKN) sebagai penjara satelit yang menempatkan banduan yang melakukan kesalahan ringan.

"Di penjara satelit, dalam satu-satu masa ia dapat menempatkan 400 hingga 500 tahanan termasuk banduan baru yang menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa masuk ke dalam penjara utama.

"Di Kelantan terdapat dua penjara satelit iaitu di Batu Jong, Kuala Krai, manakala di Kem Cancun Park, Pasir Mas pula masih dalam proses menaik taraf sistem keselamatan," katanya.

AJIDIN (dua kanan) menyampaikan sijil Master Of Trainer Modul Five Minute Intervention (FMI) kepada Inspektor Azlan Shah Azmi (kiri) di Pusat Pemulihan Akhlak Machang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
AJIDIN (dua kanan) menyampaikan sijil Master Of Trainer Modul Five Minute Intervention (FMI) kepada Inspektor Azlan Shah Azmi (kiri) di Pusat Pemulihan Akhlak Machang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Master Of Trainer Modul Five Minute Intervention (FMI) Dan Kursus Senamtari yang di Pusat Pemulihan Akhlak Machang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob.

Terdahulu Ajidin menyampaikan sijil kepada 33 pegawai dan anggota yang menyertai Master Of Trainer Modul Five Minute Intervention (FMI) dan Kursus Senamtari.

Mengulas lanjut, Ajidin berkata, sebagai inisiatif untuk mengatasi kesesakan banduan di penjara, pihaknya juga mengadakan Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

"Sejak November tahun lalu, seramai 1,000 banduan mendapat kebebasan awal dan kembali semula ke pangkuan keluarga serta masyarakat," katanya.

Beliau berkata, dalam situasi pandemik Covid-19, pihaknya juga perlu memastikan banduan berada dalam keadaan selamat serta mengamalkan penjarakan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

"Bagaimanapun, kes Covid-19 yang membabitkan banduan masih berada dalam keadaan terkawal.

"Setiap banduan diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai prosedur operasi standard (SOP) sebelum masuk ke dalam penjara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:59 PM