FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 13 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diubah suai sebagai kem penjara satelit, antara langkah mengurangkan kesesakan dan penularan Covid-19 di penjara seluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, penjara satelit itu adalah untuk menempatkan banduan baharu bagi tujuan pengasingan sebelum dimasukkan ke penjara.

"Penjara sementara ini diwartakan mengikut Seksyen 3 Akta Penjara 1995 sebagai admission prison," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, tadi.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang ingin tahu rancangan kerajaan menyelesaikan masalah kesesakan penjara berikutan penularan jangkitan yang pantas dalam kalangan banduan terutamanya jangkitan Covid-19.

Setakat 25 Ogos lalu, Ismail berkata berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia jumlah keseluruhan banduan di dalam penjara di seluruh negara adalah seramai 69,507 orang melebihi kapasiti sebenar iaitu sebanyak 61,242 orang.

Beliau berkata, kumulatif kes Covid-19 positif membabitkan banduan dan kakitangan penjara serta keluarga mereka adalah 51,123 orang termasuk sembilan bayi.

Ismail berkata antara langkah lain diambil Jabatan Penjara dalam menangani masalah kesesakan penjara dan penularan Covid-19, ialah memindahkan banduan ke penjara kurang sesak.

Beliau berkata Jabatan Penjara turut mewujudkan pusat transit penerimaan di institusi penjara untuk menempatkan banduan sabitan dan reman kategori risiko keselamatan minimum dengan mengambil kira keperluan pengasingan berdasarkan tarikh-tarikh kemasukan.

Menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai suntikan vaksin Covid-19 kepada banduan, Ismail memberi komitmen kesemua kakitangan penjara dan banduan akan dipastikan menerima suntikan.

"Kita akan buat secara berkala dan memastikan supaya tindakan terus dapat dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 2:54 PM