PENUNGGANG Moto2 Itali, Romano Fenati. FOTO Agensi
PENUNGGANG Moto2 Itali, Romano Fenati. FOTO Agensi
AFP

MILAN: Lesen penunggang Moto2 Itali, Romano Fenati dibatalkan selain digantung daripada bersaing dalam sebarang perlumbaan oleh Persekutuan Motosikal Itali (FMI) susulan kontroversi di Grand Prix (GP) San Marino, minggu lalu.

Fenati, 22, sebelum ini mengumumkan persaraan berikutan tindakannya menarik brek jentera pelumba lain ketika perlumbaan sedang berlangsung dalam kelajuan tinggi.

Tindakannya itu menyaksikan pasukannya, Marinelli Snipers dan pasukan yang akan disertai pada musim depan Forward Racing, memecatnya.

Fenati juga turut diperintahkan untuk menjalani perbicaraan disiplin oleh FMI pada 14 September ini bagi mendengar versinya terhadap kejadian berkenaan.

Dalam kejadian itu, kedua-duanya sedan memecut laju di Litar Misano sekitar 200 kilometer sejam apabila Fenati yang menggunakan jentera Kalex memintas rakan senegaranya, Stefano Manzi sebelum bertindak menarik brek jentera pelumba berkenaan.

Manzi yang menunggang jentera Suter hilang keseimbangannya seketika sebelum dapat mengawal keadaan.

Tindakan Fenati dipercayai susulan cubaan Manzi memintasnya beberapa pusingan sebelum ini yang menyaksikan kedua-duanya terbabas.

Fenati kemudian meminta maaf atas ‘tindakan memalukannya’ itu dan berkata dia bersara daripada sukan berkenaan untuk melengkapkan pengajiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 12:42 AM