Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Penjara Kelantan memohon Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan banduan di negeri ini kerana berlakunya kesesakan di penjara.

Pengarah Penjara Kelantan Mat Yaacob berkata, ada berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan namun jumlahnya sangat kecil.

Katanya, pihaknya berharap proses vaksinasi dalam kalangan banduan boleh dilakukan tidak lama lagi.

"Sehingga kini, jumlah banduan di empat penjara dan empat parol di negeri ini lebih 5,000 orang dan berlaku kesesakan.

"Jumlah sebenar yang dapat ditampung oleh penjara dan parol adalah seramai lebih 3,000 orang sahaja. Jadi terdapat lebihan banduan sebanyak 85 peratus.

"Kesesakan ini membimbangkan kerana kesemua banduan tidak mengambil vaksin dan kita risau jika ada jangkitan di penjara, ia boleh merebak kepada kakitangan serta ahli keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Outreach Vaksinasi Kakitangan dan Ahli Keluarga di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Anggota Penjara Kelantan menolak kerusi roda salah seorang OKU, Mohd Faiza Fauzi, 43, untuk mendapatkan suntikan vaksin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota Penjara Kelantan menolak kerusi roda salah seorang OKU, Mohd Faiza Fauzi, 43, untuk mendapatkan suntikan vaksin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Seramai 2,000 individu yang akan divaksinasi dalam program selama lima hari yang bermula semalam yang membabitkan kakitangan, ahli keluarga dan masyarakat setempat.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa Wan Sani Ab Latiff.

Mengulas lanjut, Mat berkata, bagi menangani kes Covid-19 dalam kalangan banduan, pihaknya mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dalam penjara.

"PKRC ini akan dipantau oleh kakitangan penjara bersama pegawai perubatan untuk mengawal jangkitan Cobvid-19.

"Alhamdulillah, kes di penjara buat masa ini sangat kecil kerana pihak kita terus mengasingkan banduan yang positif Covid-19 untuk dikuarantin di penjara satelit.

"Berbanding pada awal dahulu, kita tidak tahu kaedah untuk mengawal kes Covid-19 di penjara," katanya.

Beliau berkata, setakat ini 99 peratus kakitangan penjara di Kelantan sudah divaksin dan selebihnya tidak divaksin kerana mereka mengalami masalah kesihatan termasuk sedang mengandung.

Pada perkembangan lain beliau berkata, kes mahkamah membabitkan banduan ditangguhkan buat masa ini kerana pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP), namun jika ada kes perlu dibawa ke mahkamah banduan ini terlebih dahulu akan menjalani ujian calitan dan perlu disahkan negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 1:53 PM