Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Hampir 1,000 banduan di Kelantan menerima dua dos lengkap vaksinasi Covid-19 bagi mengelak tercetusnya kluster baharu di penjara selain penularan wabak dalam kalangan banduan dan anggota bertugas.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, program vaksinasi dalam kalangan banduan bermula sejak Julai lalu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan.

Katanya, pelaksanaan penuh vaksinasi Covid-19 kepada lebih 5,000 banduan dilakukan di Penjara Pengkalan Chepa dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA)/Pusat Koreksional, Machang, dijangkakan bermula pada bulan ini.

"Kita akui masih ada lagi kes jangkitan wabak Covid-19 membabitkan banduan dan anggota namun dalam keadaan terkawal, malah pelbagai tindakan diambil bagi memastikan penularan penyakit ini tidak terus berleluasa.

"Kesemua banduan yang sudah divaksin menerima suntikan di dalam kawasan penjara yang mana kita mendapat kerjasama daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang datang sendiri ke sel membawa bekalan vaksin untuk diberikan kepada banduan.

MAT Yaacob. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MAT Yaacob. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Walaupun penerimaan vaksin dalam kalangan banduan agak perlahan, namun ia tetap berjalan demi memastikan semua banduan ini dilindungi daripada wabak, manakala anggota bertugas pula 100 peratus sudah menerima vaksinasi lengkap," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Japanese Rock Melon dengan kerjasama Penjara Negeri Kelantan dan Syarikat El Matta Sdn Bhd, di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Operasi Syarikat El Matta Sdn Bhd, Bok Chee Kit.

Mat berkata, kes Covid-19 di dalam penjara juga terkawal susulan pelaksanaan Penjara Satelit yang dijadikan sebagai zon tapisan untuk pesalah bagi menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum mereka dibawa masuk ke penjara utama.

"Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) juga diperketatkan apabila setiap banduan diwajibkan untuk memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta mengamalkan penggunaan cecair pembasmi kuman di dalam kawasan penjara.

"Malah, keselamatan dalam kalangan anggota juga menjadi keutamaan agar mereka dalam keadaan bebas wabak untuk berada di luar penjara serta bertemu ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 12:27 PM