GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Seorang peguam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas sembilan tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM6.5 juta.

Tertuduh, M Pathmarajah, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Pathmarajah didakwa menerima wang berjumlah keseluruhan RM6,536,600 melalui cek daripada Tan Bee Kim & Partners hasil aktiviti haram ke dalam akaun semasa Malayan Banking Berhad milik Firma Guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co sebagai rakan kongsi firma guaman berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Jalan Maarof, Bangsar Baru, di sini, antara 8 Ogos 2017 dan 12 Februari 2018.

Pathmarajah turut didakwa atas dua tuduhan memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM2,680,370 hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Malayan Banking milik firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co ke dalam akaun simpana tetap firma guaman itu dan Syarikat Emizen Line Sdn Bhd.

Dia turut didakwa menggunakan wang berjumlah RM1,080,000 hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Malayan Banking milik firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co melalui dua keping cek kepada Mitz Luniques Sdn Bhd antara 12 dan 15 Februari 2018.

Di hadapan Kamarudin, Pathmarajah turut didakwa atas tiga tuduhan memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM3,155,242.79 hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Public Bank milik Tetuan Mazwan Pathma & Co ke dalam akaun semasa lain di Public Bank dan Malayan Banking milik firma guaman sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Maarof, Bangsar Baru, di sini, antara 16 Ogos 2017 dan 21 Mac 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda lima kali ganda atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt menawarkan jaminan RM600,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan kerana membabitkan kesalahan serius.

Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Datuk Vignesh Kumar memohon jaminan rendah dengan alasan beliau adalah penanggung tunggal keluarga serta mempunyai tiga anak yang masih meneruskan pengajian tinggi.

"Tertuduh mempunyai pengalaman lebih 40 tahun sebagai peguam dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 seorang penjamin dan menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 4:12 PM