GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemilik syarikat pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM1.15 juta.

Norani Ismail, 66, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, wanita itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM1.15 juta daripada akaun semasa Malayan Banking milik syarikatnya, Inter City Services & Travel Sdn Bhd yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Wang terbabit dimasukkan ke dalam akaun semasa Maybank Berhad dan akaun simpanan Malayan Banking Islamic Berhad milik seorang anak tertuduh, akaun semasa Malayan Banking Berhad dan CIMB Bank Berhad milik tertuduh dan satu akaun semasa Hong Leong milik syarikatnya.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Bukit Bintang di sini, antara 25 Januari hingga 3 Oktober 2019.

Pertuduhan dikemukakan di bawah perenggan 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan terbabit dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan kerana kesalahan itu adalah serius.

Beliau berkata, tertuduh menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan memohon kes pengubahan wang haram itu dipindahkan ke mahkamah terbabit untuk didengar bersama kerana membabitkan transaksi yang sama.

"Saya juga mohon sebutan kes ini (pengubahan wang) ditetapkan pada 8 Mac, sama dengan sebutan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam," katanya.

Peguam Vinod Sharma yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengguna pakai wang jaminan RM15,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ahmad Kamar membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengguna pakai jaminan RM15,000 serta menetapkan 8 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 2:28 PM